Daripada Abu al-'Abbas Sahlu ibn Sa'ad al-Saa'idie r.a. beliau berkata: Seorang lelaki telah datang menemui Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah! Tunjukkan daku suatu amalan yang apabila aku lakukannya, aku dikasihi oleh Allah dan dikasihi oleh manusia. Baginda bersabda: "Zuhudlah engkau terhadap dunia, nescaya Allah kasihkan engkau dan zuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia, nescaya manusia akan mengasihimu."
(Hadith hasan, riwayat Ibnu Majah dll)
Zahid Pada Dunia, Dikasihi Allah
Zahid menurut tafsiran yang dipersetujui ulama mengandungi 2 pengertian:
1- Kosong hati dari dunia bukan kosong tangan daripadanya. Inilah zahid orang-orang dari golongan ariffin (yang lebih mengenal Allah) dan inilah katanya yang dikehendaki oleh hadith
2- Kosong sama sekali dari suatu sama ada dari dunia ini mahu dari syurga di akhirat kelak kecuali Allah, ertinya kepada Allah sajalah tempat tumpuan dan tujuannya iaitu untuk mencapai setinggi keredaanNya semata-mata. Inilah zahid orang-orang dari golongan muqarrabin (yang mendampingi peribadi kepada Allah)
Imam Ghazali berkata:
"Bukanlah orang yang zahid itu orang yang tiada berharta. Tetapi orang yang zahid itu ialah orang yang tiada dibimbangkan oleh hartanya sekalipun harta seluruh alam ini kepunyaannya belaka."
Saidina Ali pula berkata:
"Kalau seorang lelaki mengambil sekelian apa yang ada dipermukaan bumi ini dengan maksud semata-mata kerana Allah, maka bukan ia dari orang yang gemarkan dunia."
Sabda baginda s.a.w. pula:
"Bukanlah zahid pada dunia dengan mengharamkan yang halal dan tiada pula dengan mensia-siakan harta. Akan tetapi zahid padanya ialah engkau lebih percaya kepada apa yag ada di tangan Allah lebih daripada apa yang ada ditangan engkau sendiri, dan adalah hal engkau dalam masa kesusahan sama sepeti hal engkau dalam masa tiada kesusahan, dan adalah pula orang yang memuji dan mencela engkau dalam kebenaran sama saja dalam bagi engkau." (HR Muhammad b Muhajir)
Zahid lahir dari amalan hati, bukan dari amalan jasad semata-mata. Zahid pada dunia ada 3 perkara:
1- Percaya kepada suatu yang ada pada Allah lebih daripada percaya kepada suatu yang ada pada diri sendiri.
2- Gemar mendapat ganjaran dari kesusahan dunia, lebih daripada kegemaran mendapat kesukaan di kala tiada kesusahan tersebut. Barangsiapa zahid pada dunia, mudahlah baginya segala kesusahan yang menimpa ke atasnya.
3- Sama saja perasaan dan sikap seorang di kala dia dipuji mahu pun dia dicela kerana kebenaran yang dilakukannya.
Orang yang dikasihi Allah ialah orang yang benci kepada suatu yang dibencinya dan zahid pada perkara yang melalaikannya, dan tidaklah dia membuangkan dunia itu kononnya untuk dikasihi Allah, kerana dunia adalah jalan ke akhirat seperti kata Saidina Ali:
"Sesungguhnya dunia ini adalah negeri benar bagi orang yang benar kepadanya, negeri akibat bagi orang yang memahaminya dan negeri kekayaan bagi orang yang menyediakan bekalan-bekalan daripadanya."
Sabda baginda s.a.w.:
"Sebaik-baik negeri adalah dunia bagi mereka yang berbekalan daripadanya untuk akhiratnya hingga reda tuhannya, dan sejahat-jahat negeri bagi mereka yang menghalangi daripada akhiratnya dan memundurkan dia dari keredaan tuhannya, dan apabila seorang hamba berkata: Semoga Allah burukkan dunia, maka berkatalah dunia (kepadanya): Allah burukkan (dia) kerana dialah yang derhakakan kami kepada tuhannya."
Zahid Pada Barang Yang Ada Di Tangan Manusia, Dikasihi Manusia
Sabda baginda s.a.w.:
"Kemuliaan seorang ialah berdirinya pada waktu malam (untuk sembahyang) dan kehormatannya ialah terkaya daripada manusia."
Zahid seorang ada barang yang ada di tangan manusia adalah ia tidak meminta, tidak ingin dan tidak perlu kepada suatu yang ada pada tangan manusia.
Kemuliaan dan kehormatan peribadi seorang adalah terletak pada sikap dirinya sendiri, iaitu sikap percaya kepada kebolehannya dengan usaha yang dikerjakannya, serta senang hati dengan apa yang diperolehi dan tidak berkehendak kepada suatu pemberian dari orang lain yang ia tidak berhak mendapatnya.
PENGAJARAN HADIS:
(1) Hadis ini menerangkan suatu sifat penting yang harus ada pada diri setiap mukmin iaitu sifat zuhud
(2) Zuhud terhadap dunia mempunyai banyak pengertian di kalangan ulama tasawwuf antaranya ialah membenci, berpaling, meninggalkan dan menjauhkan diri dari kemewahan dunia serta mengosongkan hati dari mengingati perkara dunia.
(3) Zuhud terhadap apa yang dimiliki manusia, bererti menjauhkan diri dari merasa irihati terhadap apa yang dimiliki oleh manusia serta mengosongkan hati dari mengingati harta milik orang. lni bukan bererti membenci sehingga suka agar kesenangan orang lain hilang kerana itu hasad dengki yang amat dilarang
(4) Zuhud sebenar bukan bererti meninggalkan dunia atau langsung tidak berharta. Zuhud sejati ialah tidak menjadikan dunia dan kemewahan hidup sebagai matlamat hidup, walaupun kekayaannya memenuhi dunia seumpama yang terjadi pada jutawan zaman Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman ibn 'Auf, kerana matlamat hidup seorang mukmin ialah Allah dan keredhaanNya, bukan benda-benda selainNya
:wallahu'alam:
Semoga hadis nie buat kita terutama bergelar muslimin dan muslimah yang sejati..dan soleh dan solehah.insyaALLAH ^^ hadis nie jugak untuk ingatkan diri aku sendiri--> mudah2an hendakNya~
--;--'-{@
~Dawia Honeyputri~
0 komen Si teddy Chito ✿:
Post a Comment
selaMat berkoMen ;) ♥